Monday, January 7, 2008

Hari Pertama Persekolahan

~Bustam Kamri~

“Anak-anak, anda telah mencuba sedaya upaya dan anda gagal sepenuhnya. Pengajarannya, jangan serik.”
– Pujangga -

AKU begitu gelisah. Ini merupakan hari pertama aku masuk sekolah. Aku belum menguasai sepenuhnya bahasa Melayu, Aku dibesarkan dalam masyarakat Jawa yang menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pertuturan. Walaupun telah merdeka, penduduk kampung itu yang terletak agak jauh dari pekan masih tebal mengamalkan budaya Jawa. Tidak hairanlah anak-anak dari kampung itu bertutur dalam bahasa Jawa.

"Semua bangun." Arah Cikgu Hashim sambil berdiri berhampiran meja guru. Hari ini merupakan hari pertama murid-murid Darjah Satu berjumpa guru kelasnya.

"Selamat pagi murid-murid. Nama saya ialah Cikgu Hashim," beritahu Cikgu Hashim kepada murid-muridnya. Cikgu Hashim terus membuka buku kehadiran untuk menyemak senarai nama murid-muridnya.

"Bila cikgu panggil nama, kamu hendaklah berdiri," terang Cikgu Hashim.

"Aris bin Ali."

"Saya, cikgu."

Aku memerhati setiap kali murid-murid dipanggil namanya. Mereka akan berdiri dan duduk. Itu sahaja yang aku cuba ingat.

"Bustam bin Kamri." Tiba-tiba nama aku dipanggil oleh Cikgu Hashim.

Secara spontan aku berdiri dan berkata, "Nun!" Semua murid-murid tertumpu kepada aku. Ada yang ketawa mendengar jawapan "nun". Tapi Cikgu Hashim cepat-cepat membetulnya.

"Nun pun boleh, tapi itu bahasa Jawa. Lain kali sebut 'saya'."

Aku mengangguk-angguk kepala. Mulai saat itu aku sedar betapa pentingnya untuk menguasai bahasa Melayu sebaik mungkin.

Sebaik sampai di rumah aku berlatih perkataan 'saya' dan beberapa ayat yang bias digunakan. Keesokan harinya seperti biasa Cikgu Hashim memanggil murid-murid termasuk aku.

"Bustam bin Kamri."

"Saya cikgu!" jawabku kuat dan yakin dengan nada kejawaan yang masih pekat. Murid-murid lain semua ketawa. Cikgu Hashim dengan segera menegur supaya tidak mentertawakan aku. Aku tidak putus asa. Aku terus berusaha berlatih berbahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Walaupun kawan-kawan mentertawakan, aku tidak peduli. Aku tetap tabah hati untuk berbahasa Melayu.

Pesanan Cikgu Hashim masih aku ingat sampai ke hari ini, "Kalau ada kesungguhan dan rajin berlatih, insya-Allah kamu akan berjaya menguasai bahasa Melayu." Terima kasih Cikgu Hashim.


No comments: