Thursday, January 3, 2008

Jaguh Jalanan

~Raja Ahmad Raja Musa~

“Hanya mereka yang dapat menguasai fikirannya, berkuasa atas perbuatannya”
- Budiman -

PADANG Majlis Bandaran pagi itu dibanjiri oleh ramai penonton yang datangnya dari pelbagai tempat di sekitar Parit Buntar. Suara sorakan
menyokong pasukan masing-masing jelas kedengaran. Hari itu berlangsungnya Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Daerah Kerian.

"Kamu semua mesti yakin dengan kebolehan masing-masing. Jangan lekas hilang tumpuan, kejarlah kejayaan yang telah hampir kamu capai ini." Aku memberi semangat.

"Kami semua sudah bersedia cikgu. Kami berjanji akan mencuba sedaya upaya, cikgu," murid-muridku memberikan janji.

Aku masih teringat lagi tanggungjawab yang diberikan oleh Guru Besar kepadaku sejak mula aku bertugas di sini. Sekolah yang dalam keadaan serba kekurangan.

"Cikgu, saya panggil ini kerana ada satu perkara penting yang harus dilaksanakan," kata Guru Besar.

"Saya percaya awak boleh lakukan," tambahnya lagi.

"Apa tugasnya, cikgu." Aku kehairanan.

"Saya mahu awak melatih murid-murid sekolah ini berlari bagi persiapan menghadapi kejohanan olahraga nanti," jawab Guru Besar agak serius.

Tidak ada jawapan lain yang dapat aku berikan melainkan menerima tugas tersebut dengan penuh tanggungjawab kerana aku guru Pendidikan Jasmani.

Kejohanan itu mengukur sejauh mana kemampuan aku memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Akhirnya sekolah kami menjuarai acara 4 X 100 meter.

Esoknya satu perhimpunan diadakan. Perhimpunan ini diadakan khusus untuk merayakan kemenangan pasukan sekolah yang telah menjadi juara dan akan mewakili Daerah Kerian ke pertandingan olahraga peringkat negeri.

Aku berbangga dengan pencapaian mereka dan berpuas hati atas usaha yang kucurahkan kerana melatih mereka. Sebelum ini, Cikgu Rahim sering memperlekeh usahaku kerana melatih murid berlari di atas jalan tanah merah berhampiran sekolah. Kadang-kadang aku terasa malu juga dengan sindiran Cikgu Rahim.

Kini, aku benar-benar membuktikan bahawa ‘jaguh jalanan’ yang diejek-ejek oleh Cikgu Rahim benar-benar menjadi jaguh menewaskan pasukan-pasukan yang datangnya dari sekolah yang serba lengkap dan berpadang luas. Aku tersenyum puas.

No comments: