Tuesday, January 1, 2008

Ayau

~Haris Fadilah Ahmad~

“Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju”
- Horne -

SAYA pernah mengajar di sekolah orang asli di pedalaman Hulu Tembeling, Pahang pada awal tahun 1990-an. Banyak pengalaman berharga saya peroleh sepanjang tempoh lima tahun bertugas di sekolah tersebut. Antaranya pengalaman majlis berkhatan anak-anak orang asli.

Murid-murid yang hendak berkhatan berkumpul dibalai raya. Seperti biasa, mereka tu diraikan dalam suasana adapt orang Melayu. Mereka dipakaikan sepasang baju Melayu dan berselempang kain pelikat. Kesemua pakaian itu disumbangkan oleh sebuah badan dakwah dari Kuala Lumpur.

Salah seorang dari mereka bernama Ayau, murid Tahun Enam. Rupa paras dan bentuk fizikalnya sasa seperti orang dewasa. Berbanding dengan rakan yang lain, Ayau yang paling besar dan kacak.

Saya melihat Ayau yang duduk di hadapan sekali begitu resah. Ustaz Rahman, guru Pendidikan Islam menerangkan sesuatu kepada murid-murid mengenai perlunya berkhatan.

“Sebagai seorang Islam kita mesti berkhatan!” suara Ustaz Rahman agak lembut memujuk.

“Kita berkhatan untuk menjamin kebersihan,” sambung Ustaz Rahman.

Saya melihat Ayau semakin tidak senang duduk. Dia resah, matanya sentiasa memandang ke luar. Rakan-rakannya yang lain telah mulai gelisah melihat sikap Ayau yang tidak senang dengan situasi hari itu.

“Kamu jangan takut. Cuma sakit macam kena gigit kerengga sahaja,” pujuk Guru Besar.

“Pernahkah kamu kena gigit kerengga?” Tanya Guru Besar.

Masing-masing tidak menjawab. Mereka tidak ambil endah soalan yang dikemukakan oleh Guru Besar. Saya yang ditugaskan sebagai guru Tahun Enam sekolah itu juga diseret kebimbangan. Seolah-olah ada yang tidak kena akan berlaku.

Sebuah ‘landrover’ Kementerian Kesihatan muncul dan berhenti di hadapan balai raya. Dua orang doctor dan empat orang pembantu perubatan turun sambil membawa peralatan rawatan.

Seluruh mata tertumpu ke arah pasukan perubatan itu. Ayau berkata sesuatu kepada rakannya disebelah. Ketakutannya meningkat.

Saya mendekati Ayau dan beberapa rakannya yang lain. Dengan nada perlahan, saya memujuk murid-murid itu. Mereka masih buat tidak kisah dan perhatian mereka tetap tertumpu kea rah pasukan perubatan itu.

Pengacara membuat pengumuman, majlis itu akan dimulakan dengan bacaan doa selamat. Selepas itu, majlis berkhatan akan berlangsung.

Saya mengambil tempat di belakang balai raya bersama guru lain. Sambil itu, mata kami tertumpu ke arah murid-murid tersebut.

“Nampaknya ada yang akan lari masuk ke hutan hari ini,’ bisik Ustaz Rahman.

“Habis, apa yang patut kita lakukan, Ustaz?” Tanyaku.

“Kita kena kejar dan memujuk mereka. Kalau tidak, bila lagi mereka akan berkhatan,” cadang Ustaz Rahman.

Majlis berkhatan pun bermula. Guru bertugas memanggil seorang murid yang agak kecil tubuhnya dikalangan rakan-rakannya. Apabila namanya disebut, murid orang asli itu mula menangis. Badannya menggeletar.

Melihat keadaan itu, ramai ibu bapa yang datang membantu.

Murid pertama selesai berkhatan. Manakala rakannya yang lain juga menangis dan enggan menaiki surau. Murid yang kena giliran untuk berkhatan terpaksa didukung menaiki surau itu.

“Cikgu Haris … Ayau lari ke hutan!” Seorang guru memberitahu.

Kami terkejut. Sahlah Ayau yang bertubuh besar dan sasa itu takut berkhatan.

“Cepat, pergi kejar dan dapatkan Ayau,” arah Guru Besar. Ustaz Rahman mengangguk-angguk. Kami dan beberapa orang ibu bapa mengejar Ayau di hutan berdekatan kampung orang asli itu.

Setelah bersusah payah meredah hutan, akhirnya Ayau dapat ditangkap. Dia meronta-ronta dan menjerit.

“Aku tak mahu. Aku takut,” katanya. Masing-masing memegang Ayau. Dia terus meronta-ronta sambil menjerit.

“Bagaimana kita hendak memujuk budak ini?” Tanya Guru Besar. Kami berpandangan.

Aku mengusap-ngusap kepala Ayau sambil bertanya, “Ayau hendak main bola ?” dia masih membisu.

Tangisannya macam budak kecil. Saya memujuk untuk menghilangkan rasa takutnya.

“Kalau tidak berkhatan hari ini, cikgu tidak benarkan kamu bermain bola lagi. Kamu tidak boleh mewakili sekolah dan daerah.”

Mata Ayau terkebil-kebil apabila mendengar kata-kata itu. Dia bangun dan berdiri. Perasaan takutnya mulai hilang. Ayau melangkah keluar dari hutan. Dia melangkah ke surau. Semua murid sudah selesai berkhatan.

Ayau selamat berkhatan. Ketika dipapah ke tempat duduk, dia tersenyum.

“Cikgu harap kamu cepat sembuh. Lepas ini, kita sambung berlatih semula,” saya meyakinkan Ayau. Ayau mengangguk.

No comments: