Friday, January 4, 2008

Naik Gajah

~Bustam Kamri~

“Orang yang percaya akan dirinya tidaklah mengharap pujian manusia. Orang yang mengharap pujian nescaya ragu-ragu akan harga dirinya”
– Goustave Lebon -

AKU masih teringat peristiwa aku terpaksa menulis perkataan, “ada pun lalat binatang yang pengotor” sehalaman muka surat sebagai satu dendaan kerana tidak patuh kepada arahan guru Bahasa Melayu di kelasku. Malu rasanya aku apabila terpaksa menuliskan ayat tersebut pada ketika rakanku yang lain mendapat pujian guru. Bukan aku tidak patuh kepada arahannya malahan aku telahpun menyiapkan karangan tersebut. Cuma aku tidak memulakan karangankuk dengan perkataan “ada pun” seperti arahannya. Aku sengaja mencari kelainan. Aku tidak menyangka dengan meninggalkan dua patah perkataan tersebut, sudah menjadi kesalahan.

Hukuman itu mencabar perasaanku. Membakar semangatku. Semuanya tersimpan di dalam hatiku. Aku berjanji akan membuktikan bahawa suatu hari nanti, aku mahu menjadi penulis yang disegani.

Suatu hari aku berkesempatan mengikut rombongan sekolah melawat Bandar Raya Kuala Lumpur. Salah satu destinasi lawatan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Editor majalah kanak-kanak Dewan Bahasa memberi penerangan dan menghadiahkan senaskhah majalah kepadaku. Editor tersebut memberitahu bahawa semua kanak-kanak yang berminat menulis boleh menghantar karya untuk diterbitkan di dalam majalah tersebut. Setiap karya yang diterbitkan, penulisnya akan mendapat majalah percuma.

Sekembali dari lawatan itu, aku menulis sebuah karangan tentang lawatan tersebut. Aku sangat berharap supaya karangan tu dapat disiarkan dan aku akan mendapat sebuah majalah percuma. Lebih daripada itu aku ingin mengembalikan maruah diriku yang dihukum hanya ingin mencuba sesuatu yang berlainan daripada rakan-rakan.

Suatu hari ketika perhimpunan sekolah, guru Bahasa Melayu tersebut memanggil aku supaya berdiri di hadapan. “Bustam, cuba kamu bacakan karangan ini,” pinta guru sambil menunjukkan ruangan yang perlu dibaca. “Naik Gajah,” aku membacakan tajuk karangan itu dengan jelas.

Aku tergamam. Baru aku tersedar bahawa karangan itu adalah karyaku. Namun aku teruskan bacaan sehingga selesai. Aku mengakhiri bacaan dengan menyebut nama penulis: Bustam bin Kamri. Sekolah Kebangsaan Panchor, Muar, Johor.

No comments: