Sunday, January 6, 2008

Botnya Bocor

~Maizon Alias~

“Jangan meminta nasihat daripada orang tua tetapi mintalah nasihat daripada orang yang telah biasa susah”
– Peribahasa Rusia -

JARAK Pulau Kapas dengan tanah besar tidaklah jauh sangat. Dari tanah besar, Pulau Kapas jelas kelihatan terutama ketika cuaca baik. Pantainya putih dengan pasir yang halus mengelilingi pulau bagaikan sebiji kelapa di tengah lautan.

Aku baru sahaja bertugas sebagai guru. Sebagai guru muda, aku begitu seronok apabila dipelawa oleh pelajar untuk berkelah. Seorang lagi guru yang telah lama bertugas di sekolah itu menguruskan bot sewaan.

Mulanya terkejut juga aku apabila mendapati bot yang disewa itu hanyalah bot nelayan yang agak sudah lama hayatnya. Kami tertanya-tanya semasa bot itu meluncur perlahan, mengapa tidak ada jaket keselamatan yang disediakan. Laut tenang bagai hamparan tikar menyebabkan kami melupakan seketika tentang keselamatan.

Bot perlahan-lahan meninggalkan pulau. Tekong bot tenang memandang ke hadapan. Angin semakin kencang ketika bot kami mula berada di tengah lautan. Tiba-tiba sahaja wajah kami berubah apabila seorang pelajar perempuan yang tadinya becok bercakap menunjukkan ke arah air yang menerobos ke dalam bot kami.

"Air! Air!"

"Tolong timba ait tu." Tekong bot itu selamba sahaja.

Aku menggunakan sebuah baldi kecil untuk mencedok air yang semakin banyak sementara rakanku menenteramkan pelajar-pelajar. Tanah besar masih jauh di hadapan. Pelajar perempuan menyepi. Sesekali aku menjeling ke arah bibir bersih yang bergetar. Barangkali berdoa dan mengharapkan sesuatu.

"Air kuat, pak cik."

"Timbalah!" suaranya meninggi tetapi tenang.

Hanya enjin bot yang berdesing. Tidak ada suara perbualan antara pelajar. Macam-macam yang terlintas dalam kepala aku. Laut adalah teman dan juga musuh yang tidak kenal erti kasihan.

Air semakin kencang menerobos. Suara ketakutan semakin jelas. Ada yang merayu agar tekong itu melakukan sesuatu. Akhirnya dia bertanya sesiapa di antara kami yang tahu mengemudi bot itu. Aku berpandangan dengan rakanku. Tidak ada suara di kalangan pelajar. Dengan penuh yakin, aku melangkah perlahan menuju ke arah tekong itu dan memegang stering. Semua pelajar memandang ke arah aku.

Tekong itu mencari sesuatu. Seorang pelajar perempuan menanggalkan tudungnya. Seolah-olah faham dengan apa yang dicari. Aku memandu mengikut arahan tekong dengan tenang. Tiba-tiba, bot yang kami naiki terumbang-ambing. Ngauman enjin semakin kuat. Angin semakin kencang. Air membuak masuk. Jeritan mula kedengaran. Aku memandang ke arah kawanku. Perlahan-lahan aku memerhati ke arah tekong yang tetap tenang. Dia mengambil kayu penggalah dan meminta salah seorang pelajar menanggalkan tudung putihnya.

Kayu itu ditegakkan bersama tudung putih berkibar. Sebuah bot sedang menuju ke arah kami. Sehingga semuanya berjaya mendarat, barulah wajah kami sedikit berseri. Kami bersyukur tidak ada kemalangan nyawa atau kecederaan. Aku insaf bahawa dalam saat-saat kecemasan, ketenangan, kerjasama dan keberanian bertindak akan menyelamatkan keadaan.

1 comment:

Tikno said...

Peribahasa yang bagus dari Rusia. Thanks for sharing