Wednesday, January 9, 2008

Sebelum Jadi Cikgu

~Hashim Abdullah~

“Hidup yang besar adalah impian besar semasa muda yang direalisasikan setelah dewasa.”
– Alfred de Victor -

"BOLEHKAH hantar saya ke Kota Bharu?" tanya seorang tua seraya menghampiri becaku.

Aku dapat agak pertanyaan itu dikemukakan kerana dilihatnya aku seorang yang bertubuh kecil sedangkan beca yang aku gunakan itu jauh lebih besar, lagipun pak cik itu membawa barang yang banyak.

"Boleh, tak jadi masalah," jawabku ringkas.

Pak cik bersama barang-barangnya naik ke becaku. Sebenarnya aku pinjam beca itu daripada seorang kawan. Ketika itu aku baru berumur 18 tahun dan sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Sewaktu aku menghantarnya, aku terserempak dengan guru Ekonomiku, Cikgu Ali. Dia memang hebat mengajar Ekonomi, cuma aku tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek tersebut.

Cikgu Ali tersenyum melihat cara aku mencari wang dan mengisi waktu.

Bukan setakat itu sahaja perjalanan hidupku sebelum menjadi guru. Aku pernah ke Hulu Kelantan bersama abang iparku. Kerja-kerja berkebun. menoreh getah, meracun dan meneroka tanah baru telah aku lakukan. Apa yang sukar kulupakan ialah aku jatuh sakit dan demam berbulan-bulan lamanya. Demammalaria yang hampir-hampir membawa maut.

Pengalaman-pengalaman demikian merupakan satu nikmat yang boleh dijadikan teladan dan sempadan serta merupakan satu perangsang untuk aku berjaya.

Sering aku menasihati murid-murid, bahawa Allah pernah menjanjikan di dalam kitab suci-Nya al-Quranulkarim bahawa sesudah kepayahan dan kesulitan, ada kesenangan dan kemudahan. Bertepatan dengan pepatah Melayu yang berbunyi, "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Kini aku menjadi guru dan sangat bersyukur pada Allah, apabila pengalaman-pengalaman itu aku adunkan bersama untuk kepentingan dunia pendidikan.

1 comment:

Lee said...

Hi Mira, very interesting post.
Teacvhing is a very honourable post. Never can tell one of your students will be a PM someday, or a great Industrialist. And he or she will always remember you.

The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires.

You have a great week, and keep a song in your heart.
Lee.