Wednesday, January 9, 2008

Sebelum Jadi Cikgu

~Hashim Abdullah~

“Hidup yang besar adalah impian besar semasa muda yang direalisasikan setelah dewasa.”
– Alfred de Victor -

"BOLEHKAH hantar saya ke Kota Bharu?" tanya seorang tua seraya menghampiri becaku.

Aku dapat agak pertanyaan itu dikemukakan kerana dilihatnya aku seorang yang bertubuh kecil sedangkan beca yang aku gunakan itu jauh lebih besar, lagipun pak cik itu membawa barang yang banyak.

"Boleh, tak jadi masalah," jawabku ringkas.

Pak cik bersama barang-barangnya naik ke becaku. Sebenarnya aku pinjam beca itu daripada seorang kawan. Ketika itu aku baru berumur 18 tahun dan sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Sewaktu aku menghantarnya, aku terserempak dengan guru Ekonomiku, Cikgu Ali. Dia memang hebat mengajar Ekonomi, cuma aku tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek tersebut.

Cikgu Ali tersenyum melihat cara aku mencari wang dan mengisi waktu.

Bukan setakat itu sahaja perjalanan hidupku sebelum menjadi guru. Aku pernah ke Hulu Kelantan bersama abang iparku. Kerja-kerja berkebun. menoreh getah, meracun dan meneroka tanah baru telah aku lakukan. Apa yang sukar kulupakan ialah aku jatuh sakit dan demam berbulan-bulan lamanya. Demammalaria yang hampir-hampir membawa maut.

Pengalaman-pengalaman demikian merupakan satu nikmat yang boleh dijadikan teladan dan sempadan serta merupakan satu perangsang untuk aku berjaya.

Sering aku menasihati murid-murid, bahawa Allah pernah menjanjikan di dalam kitab suci-Nya al-Quranulkarim bahawa sesudah kepayahan dan kesulitan, ada kesenangan dan kemudahan. Bertepatan dengan pepatah Melayu yang berbunyi, "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Kini aku menjadi guru dan sangat bersyukur pada Allah, apabila pengalaman-pengalaman itu aku adunkan bersama untuk kepentingan dunia pendidikan.

Tuesday, January 8, 2008

Kerana Senaskah Cerpen

~Shamsudin Othman~

“Orang yang menang (berjaya) percaya pada diri mereka.”
– Pujangga -

MENGAJAR di sebuahh sekolah berasrama penuh tidak pernah terlintas di fikiran. Saya tidak pernah membayangkan yang saya akan menjadi seorang guru di sebuah sekolah ternama. Saya akui dan saya tidak boleh mendustai diri sendiri apabila menatap surat tawaran penempatan. "Sekolah Alam Shah!" getus hati kecil dan jiwa saya mula berkocak.

Setelah melaporkan diri dan berkenalan dengan Pengetua, saya diberikan tugas mengajar Bahasa Melayu tingkatan lima serta menjadi guru penolong kaunseling. Sebulan, dua bulan sehinggalah masuk bulan ketiga, saya telah diminta oleh Pengetua untuk menyelesaikan masalah seorang pelajar "projek khas".

"Tolong selesaikan masalahnya." Itulah arahan pertama Pengetua kepada saya. Saya menerima tugasan tersebut dengan dada terbuka kerana saya yakin saya boleh menyelesaikannya.

Setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar tingkatan empat itu, saya sering berjumpa dan menjadikannya seorang kawan. Kekerapan memantau perkembangan akademiknya menjadikan saya bertambah yakin. Berbekal pengalaman peribadi, saya memberanikan diri bertanya kepadanya.

"Cikgu Rabita kata awak boleh menulis dengan baik. Betul ke?" Tanya saya pada suatu petang di bilik kaunseling.

Dia diam. Barangkali dia sedang memikirkan apakah perkaitannya soalan itu dengan masalah yang sedang dihadapinya. Dia merenung muka saya beberapa ketika. Akhirnya dia mengangguk.

"Kemiskinan bukan penghalang seseorang untuk berjaya. Ayah saya seorang penoreh getah, dan emak saya pula suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya boleh belajar hingga ke universiti tanpa terlalu membebankan ayah dan emak saya." Saya memulakan kata-kata dengan menjadikan saya sebagai model.

"Macam mana cikgu?" dia mencelah percakapan saya.

"Saya menggunakan bakat yang Tuhan berikan kepada saya. Saya memilih untuk menjadi seorang penulis." Saya menyambung cerita. Saya mengeluarkan senaskah majalah 'Dewan Siswa'.

Monday, January 7, 2008

Hari Pertama Persekolahan

~Bustam Kamri~

“Anak-anak, anda telah mencuba sedaya upaya dan anda gagal sepenuhnya. Pengajarannya, jangan serik.”
– Pujangga -

AKU begitu gelisah. Ini merupakan hari pertama aku masuk sekolah. Aku belum menguasai sepenuhnya bahasa Melayu, Aku dibesarkan dalam masyarakat Jawa yang menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pertuturan. Walaupun telah merdeka, penduduk kampung itu yang terletak agak jauh dari pekan masih tebal mengamalkan budaya Jawa. Tidak hairanlah anak-anak dari kampung itu bertutur dalam bahasa Jawa.

"Semua bangun." Arah Cikgu Hashim sambil berdiri berhampiran meja guru. Hari ini merupakan hari pertama murid-murid Darjah Satu berjumpa guru kelasnya.

"Selamat pagi murid-murid. Nama saya ialah Cikgu Hashim," beritahu Cikgu Hashim kepada murid-muridnya. Cikgu Hashim terus membuka buku kehadiran untuk menyemak senarai nama murid-muridnya.

"Bila cikgu panggil nama, kamu hendaklah berdiri," terang Cikgu Hashim.

"Aris bin Ali."

"Saya, cikgu."

Aku memerhati setiap kali murid-murid dipanggil namanya. Mereka akan berdiri dan duduk. Itu sahaja yang aku cuba ingat.

"Bustam bin Kamri." Tiba-tiba nama aku dipanggil oleh Cikgu Hashim.

Secara spontan aku berdiri dan berkata, "Nun!" Semua murid-murid tertumpu kepada aku. Ada yang ketawa mendengar jawapan "nun". Tapi Cikgu Hashim cepat-cepat membetulnya.

"Nun pun boleh, tapi itu bahasa Jawa. Lain kali sebut 'saya'."

Aku mengangguk-angguk kepala. Mulai saat itu aku sedar betapa pentingnya untuk menguasai bahasa Melayu sebaik mungkin.

Sebaik sampai di rumah aku berlatih perkataan 'saya' dan beberapa ayat yang bias digunakan. Keesokan harinya seperti biasa Cikgu Hashim memanggil murid-murid termasuk aku.

"Bustam bin Kamri."

"Saya cikgu!" jawabku kuat dan yakin dengan nada kejawaan yang masih pekat. Murid-murid lain semua ketawa. Cikgu Hashim dengan segera menegur supaya tidak mentertawakan aku. Aku tidak putus asa. Aku terus berusaha berlatih berbahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Walaupun kawan-kawan mentertawakan, aku tidak peduli. Aku tetap tabah hati untuk berbahasa Melayu.

Pesanan Cikgu Hashim masih aku ingat sampai ke hari ini, "Kalau ada kesungguhan dan rajin berlatih, insya-Allah kamu akan berjaya menguasai bahasa Melayu." Terima kasih Cikgu Hashim.


Sunday, January 6, 2008

Botnya Bocor

~Maizon Alias~

“Jangan meminta nasihat daripada orang tua tetapi mintalah nasihat daripada orang yang telah biasa susah”
– Peribahasa Rusia -

JARAK Pulau Kapas dengan tanah besar tidaklah jauh sangat. Dari tanah besar, Pulau Kapas jelas kelihatan terutama ketika cuaca baik. Pantainya putih dengan pasir yang halus mengelilingi pulau bagaikan sebiji kelapa di tengah lautan.

Aku baru sahaja bertugas sebagai guru. Sebagai guru muda, aku begitu seronok apabila dipelawa oleh pelajar untuk berkelah. Seorang lagi guru yang telah lama bertugas di sekolah itu menguruskan bot sewaan.

Mulanya terkejut juga aku apabila mendapati bot yang disewa itu hanyalah bot nelayan yang agak sudah lama hayatnya. Kami tertanya-tanya semasa bot itu meluncur perlahan, mengapa tidak ada jaket keselamatan yang disediakan. Laut tenang bagai hamparan tikar menyebabkan kami melupakan seketika tentang keselamatan.

Bot perlahan-lahan meninggalkan pulau. Tekong bot tenang memandang ke hadapan. Angin semakin kencang ketika bot kami mula berada di tengah lautan. Tiba-tiba sahaja wajah kami berubah apabila seorang pelajar perempuan yang tadinya becok bercakap menunjukkan ke arah air yang menerobos ke dalam bot kami.

"Air! Air!"

"Tolong timba ait tu." Tekong bot itu selamba sahaja.

Aku menggunakan sebuah baldi kecil untuk mencedok air yang semakin banyak sementara rakanku menenteramkan pelajar-pelajar. Tanah besar masih jauh di hadapan. Pelajar perempuan menyepi. Sesekali aku menjeling ke arah bibir bersih yang bergetar. Barangkali berdoa dan mengharapkan sesuatu.

"Air kuat, pak cik."

"Timbalah!" suaranya meninggi tetapi tenang.

Hanya enjin bot yang berdesing. Tidak ada suara perbualan antara pelajar. Macam-macam yang terlintas dalam kepala aku. Laut adalah teman dan juga musuh yang tidak kenal erti kasihan.

Air semakin kencang menerobos. Suara ketakutan semakin jelas. Ada yang merayu agar tekong itu melakukan sesuatu. Akhirnya dia bertanya sesiapa di antara kami yang tahu mengemudi bot itu. Aku berpandangan dengan rakanku. Tidak ada suara di kalangan pelajar. Dengan penuh yakin, aku melangkah perlahan menuju ke arah tekong itu dan memegang stering. Semua pelajar memandang ke arah aku.

Tekong itu mencari sesuatu. Seorang pelajar perempuan menanggalkan tudungnya. Seolah-olah faham dengan apa yang dicari. Aku memandu mengikut arahan tekong dengan tenang. Tiba-tiba, bot yang kami naiki terumbang-ambing. Ngauman enjin semakin kuat. Angin semakin kencang. Air membuak masuk. Jeritan mula kedengaran. Aku memandang ke arah kawanku. Perlahan-lahan aku memerhati ke arah tekong yang tetap tenang. Dia mengambil kayu penggalah dan meminta salah seorang pelajar menanggalkan tudung putihnya.

Kayu itu ditegakkan bersama tudung putih berkibar. Sebuah bot sedang menuju ke arah kami. Sehingga semuanya berjaya mendarat, barulah wajah kami sedikit berseri. Kami bersyukur tidak ada kemalangan nyawa atau kecederaan. Aku insaf bahawa dalam saat-saat kecemasan, ketenangan, kerjasama dan keberanian bertindak akan menyelamatkan keadaan.

Saturday, January 5, 2008

Hanya Doa

~Omar Mamat~

“Kegagalan berlaku lantaran manusia tidak dapat mengenal alam dan hakikat manusia”
– Elvis Evolusi -

AKU sembunyikan kegelisahan yang bergelodak dalam diri. Sebagai seorang guru, juga ketua ekspedisi ini, aku cuba sembunyikan kegelisahan itu sebaik mungkin. Hari semakin petang, suara penghuni hutan bersahutan. Kadang-kadang menyeramkan.

“Macam mana cikgu?”

“Siapa nak tolong kita?”

Pelajar seramai 25 orang itu semakin gelisah. Wajah ceria ketika sampai di hutan rekreasi pagi tadi semakin kusam. Aku benar-benar kasihan. Hutan sekeliling mula diserkup kegelapan.

“Kita teruskan,” kataku dengan senyum yang meyakinkan. Macam-macam yang timbul dalam kepalaku.Pelajar Tingkatan Empat ini amat akrab dengan aku. Semuanya ahli Persatuan Pencinta Alam. Hutan yang sedang aku tempuhi ini bukan asing, sudah berkali-kali aku meredahnya. Hanya kali ini, aku mengubah haluan perjalanan. Aku cuba mencari jalan baru ketika menuruni Puncak Bukit Catak tadi.

Sebagai seorang guru, sebagai pemimpin, pada setiap kali kamu berhenti rehat, aku memberi perangsang. Aku memberi keyakinan dan pilihan terakhir serta apa yang patut dilakukan sekiranya kami terpaksa bermalam di dalam hutan. Kedatangan aku bersama ahli rombongan tanpa kebenaran pengetua dan ibu bapa pelajar benar-benar merungsingkan fikiranku. Lazimnya sebelum matahari jatuh, kami sudah pulang ke rumah masing-masing.

Aku terus mengepalai perjalanan meredah hutan yang semakin gelap. Hanya sekadar berbekalkan keyakinan dan harapan. Aku berpesan agar lima belas orang pelajar lelaki dan sepuluh orang pelajar perempuan yang bersama-sama dengan aku tidak b erputus asa. Semuanya mesti menanamkan keyakinan dan berdoa kepada Tuhan.

Tiba-tiba salah seorang daripada pelajar lelaki meminta kami semua mendiamkan diri dan memasang teliga. Aku turut menerima arahannya. Dalam kesunyian malam, dia menjerit keriangan. Katanya, “doa kita diterima Tuhan.” Kami mengubah arah perjalanan menuju kearah matahari naik. Benar seperti yang dijangka. Kami menadah tangan kesyukuran ketika kami menjejakkan kaki ke atas jalan raya.

Beberapa minit selepas berada di jalan raya, sebuah lori kecil menumpangkan kami dan ketika sampai di sekolah, suasana riuh dengan suara ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah. Kepulangan kami disambut dengan penuh kesyukuran. Esoknya aku dipanggil oleh pengetua dan selepas menerangkang perkara sebenarnya, pengetua menasihati aku agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.

“Jangan mengambil mudah dalam perkara yang kita rasakan sudah menjadi kebiasaan kepada kita. Kita perlu merancang perjalanan supaya tidak sesat lagi. Kita perlu bertanggung jawab terhadap murid kita dan ibu bapanya sekali,” ujarnya.

Friday, January 4, 2008

Naik Gajah

~Bustam Kamri~

“Orang yang percaya akan dirinya tidaklah mengharap pujian manusia. Orang yang mengharap pujian nescaya ragu-ragu akan harga dirinya”
– Goustave Lebon -

AKU masih teringat peristiwa aku terpaksa menulis perkataan, “ada pun lalat binatang yang pengotor” sehalaman muka surat sebagai satu dendaan kerana tidak patuh kepada arahan guru Bahasa Melayu di kelasku. Malu rasanya aku apabila terpaksa menuliskan ayat tersebut pada ketika rakanku yang lain mendapat pujian guru. Bukan aku tidak patuh kepada arahannya malahan aku telahpun menyiapkan karangan tersebut. Cuma aku tidak memulakan karangankuk dengan perkataan “ada pun” seperti arahannya. Aku sengaja mencari kelainan. Aku tidak menyangka dengan meninggalkan dua patah perkataan tersebut, sudah menjadi kesalahan.

Hukuman itu mencabar perasaanku. Membakar semangatku. Semuanya tersimpan di dalam hatiku. Aku berjanji akan membuktikan bahawa suatu hari nanti, aku mahu menjadi penulis yang disegani.

Suatu hari aku berkesempatan mengikut rombongan sekolah melawat Bandar Raya Kuala Lumpur. Salah satu destinasi lawatan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Editor majalah kanak-kanak Dewan Bahasa memberi penerangan dan menghadiahkan senaskhah majalah kepadaku. Editor tersebut memberitahu bahawa semua kanak-kanak yang berminat menulis boleh menghantar karya untuk diterbitkan di dalam majalah tersebut. Setiap karya yang diterbitkan, penulisnya akan mendapat majalah percuma.

Sekembali dari lawatan itu, aku menulis sebuah karangan tentang lawatan tersebut. Aku sangat berharap supaya karangan tu dapat disiarkan dan aku akan mendapat sebuah majalah percuma. Lebih daripada itu aku ingin mengembalikan maruah diriku yang dihukum hanya ingin mencuba sesuatu yang berlainan daripada rakan-rakan.

Suatu hari ketika perhimpunan sekolah, guru Bahasa Melayu tersebut memanggil aku supaya berdiri di hadapan. “Bustam, cuba kamu bacakan karangan ini,” pinta guru sambil menunjukkan ruangan yang perlu dibaca. “Naik Gajah,” aku membacakan tajuk karangan itu dengan jelas.

Aku tergamam. Baru aku tersedar bahawa karangan itu adalah karyaku. Namun aku teruskan bacaan sehingga selesai. Aku mengakhiri bacaan dengan menyebut nama penulis: Bustam bin Kamri. Sekolah Kebangsaan Panchor, Muar, Johor.

Thursday, January 3, 2008

Jaguh Jalanan

~Raja Ahmad Raja Musa~

“Hanya mereka yang dapat menguasai fikirannya, berkuasa atas perbuatannya”
- Budiman -

PADANG Majlis Bandaran pagi itu dibanjiri oleh ramai penonton yang datangnya dari pelbagai tempat di sekitar Parit Buntar. Suara sorakan
menyokong pasukan masing-masing jelas kedengaran. Hari itu berlangsungnya Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Daerah Kerian.

"Kamu semua mesti yakin dengan kebolehan masing-masing. Jangan lekas hilang tumpuan, kejarlah kejayaan yang telah hampir kamu capai ini." Aku memberi semangat.

"Kami semua sudah bersedia cikgu. Kami berjanji akan mencuba sedaya upaya, cikgu," murid-muridku memberikan janji.

Aku masih teringat lagi tanggungjawab yang diberikan oleh Guru Besar kepadaku sejak mula aku bertugas di sini. Sekolah yang dalam keadaan serba kekurangan.

"Cikgu, saya panggil ini kerana ada satu perkara penting yang harus dilaksanakan," kata Guru Besar.

"Saya percaya awak boleh lakukan," tambahnya lagi.

"Apa tugasnya, cikgu." Aku kehairanan.

"Saya mahu awak melatih murid-murid sekolah ini berlari bagi persiapan menghadapi kejohanan olahraga nanti," jawab Guru Besar agak serius.

Tidak ada jawapan lain yang dapat aku berikan melainkan menerima tugas tersebut dengan penuh tanggungjawab kerana aku guru Pendidikan Jasmani.

Kejohanan itu mengukur sejauh mana kemampuan aku memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Akhirnya sekolah kami menjuarai acara 4 X 100 meter.

Esoknya satu perhimpunan diadakan. Perhimpunan ini diadakan khusus untuk merayakan kemenangan pasukan sekolah yang telah menjadi juara dan akan mewakili Daerah Kerian ke pertandingan olahraga peringkat negeri.

Aku berbangga dengan pencapaian mereka dan berpuas hati atas usaha yang kucurahkan kerana melatih mereka. Sebelum ini, Cikgu Rahim sering memperlekeh usahaku kerana melatih murid berlari di atas jalan tanah merah berhampiran sekolah. Kadang-kadang aku terasa malu juga dengan sindiran Cikgu Rahim.

Kini, aku benar-benar membuktikan bahawa ‘jaguh jalanan’ yang diejek-ejek oleh Cikgu Rahim benar-benar menjadi jaguh menewaskan pasukan-pasukan yang datangnya dari sekolah yang serba lengkap dan berpadang luas. Aku tersenyum puas.

Wednesday, January 2, 2008

Jurulatih Kaki Bangku

~Ghazali Lateh~

“Satu-satunya yang harus kita takuti ialah rasa takut sendiri”
– F.O. Roosevelt -

SEMASA menuntut di maktab perguruan, saya telah dipermainkan oleh kawan-kawan apabila dilantik menjadi pengerusi kelab bola sepak maktab. Mereka mengetahui bahawa saya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Lebih tepat bolehlah dikatakan sebagai kaki bangku.

Tahun pertama mengajar di sebuah sekolah di Kedah, sekali lagi saya menggelabah dan tergamam. Dalam mesyuarat pertama tahunan sekolah, saya disenaraikan sebagai jurulatih pasukan bola sepak bawah 15 tahun.

Hendak menolak tugas, tidak berani. Latihan perlu dimulakan seawal minggu kedua persekolahan. Ini satu cabaran. Puas juga saya bertanya ke sana ke mari bagaimana hendak mengendalikan latihan. Buku-buku mengenai kejurulatihan bola sepak tiada di pasaran tempatan ketika itu. Akhirnya dengan bantuan seorang saudara yang menuntut di London, saya terpaksa berbelanja bagi mendapatkan buku-buku tersebut. Terpaksalah saya menelaah buku itu tanpa mengira siang atau malam. Pengetahuan itu sedikit sebanyak meyakinkan saya.

Pertandingan awal kejohanan peringkat daerah bermula. Pasukan kami terpaksa mempertahankan kejuaraan kejohanan peringkat itu yang disandang sejak dua tahun yang lalu. Hati saya begitu bimbang. Harapan sekolah terlalu tinggi. Kebolehan saya amat terbatas.

Satu demi satu pasukan lawan tewas. Gelaran juara berpihak kepada kami. Kami mencipta hatrik. Puji-pujian mencurah dating, kembang juga hati dibuatnya.

Cabaran paling getir adalah apabila pasukan kami bertanding dalam perlawanan akhir peringkat negeri bertemu Kolej Sultan Abdul Hamid, satu nama besar dalam bidang sukan di Kedah. Pemain-pemain saya berasa kecut perut.

Sebenarnya saya sendiri lebih kecut daripada mereka, tetapi terpaksalah saya berlakon meyakinkan mereka.

Seperti yang diduga, perlawanan akhir memang berat sebelah. Bola sentiasa berlegar-legar di depan gawang kami. Serangan lawan bertalu-talu, bola dating bagai peluru. Mujurlah penjaga gawang kami bertindak cekap menggagalkan semua percubaan lawan.

Entah macam mana pasukan kami mendpaat tendangan percuma di tengah padang. Ketua pasukan mengambil tendangan itu. Bola melambung tinggi melepasi pemain. Penjaga gawang lawan melompat cuba menangkap bola itu. Tiba-tiba dia terjatuh. Bola menerjah gawang.

“Gol! Gol!” Saya melaung sekuat hati.

Tanpa disedari saya berlari masuk ke padang. Sedar-sedar saying terbaring dihempap pemain-pemain kami di pintu gawang pasukan lawan. Penngadil mengarahkan saya keluar padang.

Beberapa minit kemudian wisel penamat ditiup. Kami bergelar juara bola sepak bawah 15 tahun peringkat negeri Kedah. Kegembiraan kami tidak dapat dibayangkan. Saya dijulang para pemain dan rakan-rakan. Puji-pujian melimpah-ruah.

Dalam hati saya berkata, “Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Juara Bola Sepak Bawah 15 Tahun Negeri Kedah tahun ini dibimbing oleh jurulatih kaki bangku.”

Tuesday, January 1, 2008

Ayau

~Haris Fadilah Ahmad~

“Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju”
- Horne -

SAYA pernah mengajar di sekolah orang asli di pedalaman Hulu Tembeling, Pahang pada awal tahun 1990-an. Banyak pengalaman berharga saya peroleh sepanjang tempoh lima tahun bertugas di sekolah tersebut. Antaranya pengalaman majlis berkhatan anak-anak orang asli.

Murid-murid yang hendak berkhatan berkumpul dibalai raya. Seperti biasa, mereka tu diraikan dalam suasana adapt orang Melayu. Mereka dipakaikan sepasang baju Melayu dan berselempang kain pelikat. Kesemua pakaian itu disumbangkan oleh sebuah badan dakwah dari Kuala Lumpur.

Salah seorang dari mereka bernama Ayau, murid Tahun Enam. Rupa paras dan bentuk fizikalnya sasa seperti orang dewasa. Berbanding dengan rakan yang lain, Ayau yang paling besar dan kacak.

Saya melihat Ayau yang duduk di hadapan sekali begitu resah. Ustaz Rahman, guru Pendidikan Islam menerangkan sesuatu kepada murid-murid mengenai perlunya berkhatan.

“Sebagai seorang Islam kita mesti berkhatan!” suara Ustaz Rahman agak lembut memujuk.

“Kita berkhatan untuk menjamin kebersihan,” sambung Ustaz Rahman.

Saya melihat Ayau semakin tidak senang duduk. Dia resah, matanya sentiasa memandang ke luar. Rakan-rakannya yang lain telah mulai gelisah melihat sikap Ayau yang tidak senang dengan situasi hari itu.

“Kamu jangan takut. Cuma sakit macam kena gigit kerengga sahaja,” pujuk Guru Besar.

“Pernahkah kamu kena gigit kerengga?” Tanya Guru Besar.

Masing-masing tidak menjawab. Mereka tidak ambil endah soalan yang dikemukakan oleh Guru Besar. Saya yang ditugaskan sebagai guru Tahun Enam sekolah itu juga diseret kebimbangan. Seolah-olah ada yang tidak kena akan berlaku.

Sebuah ‘landrover’ Kementerian Kesihatan muncul dan berhenti di hadapan balai raya. Dua orang doctor dan empat orang pembantu perubatan turun sambil membawa peralatan rawatan.

Seluruh mata tertumpu ke arah pasukan perubatan itu. Ayau berkata sesuatu kepada rakannya disebelah. Ketakutannya meningkat.

Saya mendekati Ayau dan beberapa rakannya yang lain. Dengan nada perlahan, saya memujuk murid-murid itu. Mereka masih buat tidak kisah dan perhatian mereka tetap tertumpu kea rah pasukan perubatan itu.

Pengacara membuat pengumuman, majlis itu akan dimulakan dengan bacaan doa selamat. Selepas itu, majlis berkhatan akan berlangsung.

Saya mengambil tempat di belakang balai raya bersama guru lain. Sambil itu, mata kami tertumpu ke arah murid-murid tersebut.

“Nampaknya ada yang akan lari masuk ke hutan hari ini,’ bisik Ustaz Rahman.

“Habis, apa yang patut kita lakukan, Ustaz?” Tanyaku.

“Kita kena kejar dan memujuk mereka. Kalau tidak, bila lagi mereka akan berkhatan,” cadang Ustaz Rahman.

Majlis berkhatan pun bermula. Guru bertugas memanggil seorang murid yang agak kecil tubuhnya dikalangan rakan-rakannya. Apabila namanya disebut, murid orang asli itu mula menangis. Badannya menggeletar.

Melihat keadaan itu, ramai ibu bapa yang datang membantu.

Murid pertama selesai berkhatan. Manakala rakannya yang lain juga menangis dan enggan menaiki surau. Murid yang kena giliran untuk berkhatan terpaksa didukung menaiki surau itu.

“Cikgu Haris … Ayau lari ke hutan!” Seorang guru memberitahu.

Kami terkejut. Sahlah Ayau yang bertubuh besar dan sasa itu takut berkhatan.

“Cepat, pergi kejar dan dapatkan Ayau,” arah Guru Besar. Ustaz Rahman mengangguk-angguk. Kami dan beberapa orang ibu bapa mengejar Ayau di hutan berdekatan kampung orang asli itu.

Setelah bersusah payah meredah hutan, akhirnya Ayau dapat ditangkap. Dia meronta-ronta dan menjerit.

“Aku tak mahu. Aku takut,” katanya. Masing-masing memegang Ayau. Dia terus meronta-ronta sambil menjerit.

“Bagaimana kita hendak memujuk budak ini?” Tanya Guru Besar. Kami berpandangan.

Aku mengusap-ngusap kepala Ayau sambil bertanya, “Ayau hendak main bola ?” dia masih membisu.

Tangisannya macam budak kecil. Saya memujuk untuk menghilangkan rasa takutnya.

“Kalau tidak berkhatan hari ini, cikgu tidak benarkan kamu bermain bola lagi. Kamu tidak boleh mewakili sekolah dan daerah.”

Mata Ayau terkebil-kebil apabila mendengar kata-kata itu. Dia bangun dan berdiri. Perasaan takutnya mulai hilang. Ayau melangkah keluar dari hutan. Dia melangkah ke surau. Semua murid sudah selesai berkhatan.

Ayau selamat berkhatan. Ketika dipapah ke tempat duduk, dia tersenyum.

“Cikgu harap kamu cepat sembuh. Lepas ini, kita sambung berlatih semula,” saya meyakinkan Ayau. Ayau mengangguk.